Friday, 15 February 2013

TAHUN BARU CINA

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, tahun ini merupakan Tahun Ular dalam kalendar Cina. Bagi orang Cina, setiap binatang zodiac itu mempunyai keistimewaan masing-masing dimana ia melambangkan keperibadian setiap individu yang lahir pada tahun tersebut. Simboliknya tahun ular ialah ia membawa maksud  pintar, bijaksana dan penggoda.
Sebagaimana istimewa dan simboliknya ular dalam kehidupan orang Cina, dalam masyarakat Melayu sendiri juga terdapat peribahasa yang mengandungi nasihat dan ajaran yang boleh dijadikan pedoman hidup. Umpamanya, “Tak akan hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar.”, “ular berlingkar di gulungan tikar”, “ular kepala dua” dan sebagainya.
Di sebalik kepercayaan itu, saya amat bersyukur dan gembira kerana dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini bersama emak dan adik beradik saya di Pulau Pinang. Memang bertuah hidup di Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya. Rakyat bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing dalam suasana harmoni dan muhibah tanpa rasa takut dan cemas. Semoga Tahun Ular ini akan membawa tuah, keamanan, kebahagiaan dan keberkatan hidup untuk semua. Gong Xi Fa Cai kepada semua kaum Cina, khususnya pengunjung blog saya..

Friday, 8 February 2013

TIDAK SELAMATKAH KITA?

Entri saya kali ini adalah respon kepada posting dalam FB SMKPJ yang memperkatakan tentang persoalan keselamatan awan di negara kita. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa negara kita tidak 'selamat' dan 'aman' untuk diduduki malah dibandingkan dengan keadaan sosial di Gaza yang dibelenggu peperangan dan pergolakan politik.
Sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dan bangga kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai negara yang paling selamat dan aman di rantau Asia Tenggara serta menduduki ranking ke 12 di dunia. Walaupun negara kita tidak 100% selamat dari segi keselamatan awam, jangan kita lupa tidak ada satu negara pun di dunia yang bebas daripada jenayah. Sebaliknya kita harus memberi sokongan penuh dan menaruh keyakinan tinggi terhadap kerajaan yang komited untuk memerangi jenayah dengan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan NKRA mengurangkan jenayah.
Adalah tidak wajar dengan hanya bersandarkan satu insiden di Gaza, ia dijadikan indicator untuk memperkatakan tentang tahap kesejahteraan sosial dan keselamatan awam di negara kita. Pada pendapat saya, selagi kita tidak hidup dalam ketakutan belenggu peperangan dan pergolakan politik seperti di Mesir, Syria atau di Semenanjung Gaza, selagi kita tidak ditindas seperti etnik Rohingya di Myanmar, selagi tidak berlaku kejadian tembak seperti di Sandy Hook Elementary School, Connecticut, Amerika Syarikat, yang mengorbankan nyawa 20 kanak-kanak dan 6 orang dewasa, maka kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan tahap keselamatan dan limpahan rezeki yang kita sedang kecapi di bumi tanah tumpah darah kita. Tidak mungkin kita dapat mengecapi kemewahan dan keselesaan hidup andainya negara menghadapi ketidaktenteraman sosial khususnya isu jenayah. Janganlah kita memperlekehkan atau memandang sepi kesejahteraan sosial dan keselamatan awam di negara kita dari sudut yang sempit dan negatif kerana agenda tertentu. Ingatlah bahawa isu jenayah adalah bersifat global dan pengaruhnya merentasi sempadan negara.

Friday, 1 February 2013

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL


Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul 12 Rabiu'awwal 1434, pihak sekolah telah menganjurkan acara perarakan Maulidur Rasul dari perkarangan sekolah ke Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu. Sesungguhnya banyak kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka yang mengadakan majlis Maulidur Rasul.
Sebagai orang Islam, kita harus memberi sokongan penuh kepada sambutan ini sebagai tanda saying dan cinta kita kepada Nabi Muhammad S.A.W. Semua pihak hendaklah sama-sama melapang hati dan fikiran untuk menghayati sambutan Maulidur Rasul. Sebagaimana kita bersedia berkorban masa berkumpul tanpa banyak bersoal untuk menyambut menteri dalam program bersama pemimpin, maka lebih-lebih lagi kita harus melakukannya terhadap junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengutamakan kasih dan sayang kita kepada Nabi Muhammad S.A.W. Yakinlah bahawa Allah akan melindungi mereka yang melakukan sesuatu yang baik ke jalan Allah atau menganjurkan sebarang acara untuk memartabatkan dan menyemarakkan kesucian dan kemuliaan Islam.