Saturday, 26 May 2012

PERKHEMAHAN PERDANA


KENANGAN...
Mengikut perancangan, Perkhemahan Perdana Unit Uniform SMKPJ di Pantai Merdeka  selama 3 hari 2 malam iaitu dari 24-26 Mei 2012. Aku tak dapat join pada hari pertama perkhemahan kerana menghadiri mesyuarat ULKCP BI untuk Pentaksir di Safira Country Club, Seberang Perai Utara dari 23-24 Mei 2012.
Namun perancangan untuk berkhemah dan melaksanakan semua aktiviti selama 3 hari tidak kesampaian. Peristiwa malang berlaku pada malam pertama perkhemahan apabila ribut melanda lebih kurang 12 tengah malam. Atas nasihat pihak tertentu, perkhemahan tersebut terpaksa di tamatkan lebih awal. Semua peserta dibenarkan pulang pada hari kedua lebih kurang 6.30 petang.
Jelas terpancar kekecewaan di wajah para peserta apabila diberitahu perkhemahan terpaksa ditamatkan lebih awal tapi apa boleh buat. Tiada apa yang lebih penting daripada keselamatan para peserta.
Aku terus bermalam di situ sehingga keesokan hari kerana telah menempah chalet untuk keluargaku. Malam itu, selepas maghrib ribut melanda sekali lagi. Namun aku bersyukur kerana para peserta sudah kembali ke rumah masing-masing.
Benarlah kata, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Aku bersyukur kerana semuanya selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
MAKAN SEBELUM PULANG
SELAMAT PULANG...

Tuesday, 15 May 2012

HARI GURU


Hari Guru datang lagi. Tanggal 16 Mei dianggap sebagai hari yang amat bermakna buat insan yang bergelar guru. Besar sekali pengorbanan dan jasa guru sehingga sering diibaratkan sebagai lilin membakar diri menerangi orang lain. Walaupun tema Hari Guru silih berganti tetapi tugas dan tanggungjawab guru menabur bakti tetap sama.
Tahun ini merupakan yang ke 27 aku mencurah khidmat bakti dalam bidang perguruan. Satu tempoh masa yang agak lama penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan, pengalaman manis, pahit, suka dan duka.
Mengimbau kenangan kembali, kisah bermula dengan posting pertamaku di Baling. Walaupun rasa kecewa dan keberatan atas penempatan tersebut, aku menyahut cabaran dan tabah mengharungi liku-liku kehidupan sepanjang masa berada di sana. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa penempatan di Baling akan mencorak sebahagian besar hidupku. Di situlah aku memeluk Islam, di situ jugalah aku bertemu jodoh dengan bekas anak muridku.
Bagi diri aku, apa yang berlaku sepanjang karierku sebagai seorang guru, walau perit dan pahit mana sekalipun, aku terima semuanya sebagai realiti sebuah kehidupan. Aku sedar dan terima bahawa dalam melayari kehidupan ini memang ada cabaran dan dugaan. Tidak lengkap kehidupan tanpa cabaran.
Buat semua insan yang bergelar guru, khasnya bekas guru-guruku di Pulau Pinang, Selamat Hari Guru dimana jua anda berada, jasamu akan dikenang selamanya.

Monday, 14 May 2012

IBU


Selepas solat Jumaat pada 11 Mei 2012, aku bergegas pulang ke rumah ibuku di Pulau Pinang. Walaupun aku tidak membawa buah tangan kecuali kopi O cap keretapi kegemaran ibuku, namun kepulanganku disambut dengan kegembiraan yang jelas terpancar di wajahnya.
Namun aku berasa sedikit terkilan apabila tidak dapat menyahut pelawaan ibu agar bermalam di rumahnya kerana ada kelas tuition BI di sekolah pada hari Sabtu. Aku sentiasa berdoa agar diberi banyak masa untuk kerap mengunjungi ibu. Aku sedar ibu memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana selain usianya yang sudah lanjut beliau menghidap penyakit “osteoporosis”.
Sesungguhnya jasa dan pengorbanan seorang ibu tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Oleh itu hargailah dan sayangkan ibu kita setiap masa, bukannya terhad kepada hari tertentu sahaja. Terima kasih ibu!!! Semoga Allah lanjutkan usia ibuku dan diberi hidayah. Amin.

Tuesday, 8 May 2012

ITULAH BOLA...

Permainan bolasepak memang sukar di ramal. Bak kata orang bola itu bulat. Pasukan pilihan yang memiliki pemain ternama dan popular tak semestinya menang. Meskipun dilimpahi dengan pemain bintang, ia bukan tiket automatik buat melakar kejayaan.
Status Barcelona dan Real Madrid sebagai kelab bolasepak gergasi dunia dengan memiliki Lionel Messi, pemain terbaik dunia dan Cristiano Ronaldo, pemain termahal dunia, tidak dapat dipertikaikan.
Namun kedua-dua kelab tersebut gagal melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara, pertandingan paling prestij dalam kancah bolasepak Eropah. Ini jelas memperlihatkan bahawa pasukan yang kuat dan digeruni tidak semestinya menang, manakala yang lemah tidak semestinya tewas. Pasukan Chelsea dengan 10 pemain boleh bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan Barcelona dan seterusnya melangkah kaki ke final. Itulah bola! Kuat atau popular tidak semestinya menang!
Percaturan strategi dan perancangan yang mantap  serta persefahaman yang baik dan kukuh sebagai satu pasukan amat penting untuk melakar kejayaan. Kejayaan Jepun dan Korea Selatan di Piala Dunia 2002 menjadi saksi bagaimana perancangan jangka panjang yang sistematik dan profesional terhadap sukan bolasepak di negara mereka telah membuahkan hasil.
Begitu juga dalam konteks sesebuah organisasi, perlu adanya perancangan strategik serta kerjasama dan semangat kekitaan sebagai satu pasukan ke arah merealisasikan visi dan misi yang digariskan. Baik kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Maka akan wujud kepuasan dan kegembiraan hati semua anggota dalam organisasi dan mengelakkan berlakunya perbalahan.

Thursday, 3 May 2012

HANYA SATU KEINGINAN...


Pernahkah anda membaca atau mendengar kisah “The Big Apple Tree”? Intipati kisah ini memaparkan bagaimana seorang ibu atau bapa sanggup mengorbankan segala-galanya, hatta dirinya sekali demi kasih sayangnya terhadap anak. Sebaliknya hanya satu keinginan sahaja bagi seorang ibu atau bapa, sentiasa mengharapkan dan merindui kehadiran  anak di sisi menemaninya di usia tuanya, bukannya nilai harta benda atau sebarang bentuk kebendaan dan kemewahan yang dicurahkan tanpa kehadiran anaknya. Maka seseorang anak hendaklah sentiasa mengenang jasa dan membalas budi mereka dengan sentiasa mengunjungi mereka, dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup mereka. 
Jangan sampai bila ibubapa dah tiada barulah kita menyesal kerana tidak menunaikan tanggungjawab seorang anak. Jangan bila ibubapa kita dah tiada, barulah kita sedar yang banyak perkara sebenarnya kita boleh lakukan bersama ketika mereka masih hidup! Bila itu semua terjadi, ianya sudahpun terlambat sebab tiada makna lagi walaupun menangis air mata darah, menangis penyesalan yang tak bertepi. Hakikatnya, kita hanya ada seorang ayah dan seorang emak.

“A parent is someone you look up to no matter how tall you grow.”

Wednesday, 2 May 2012

TANDAS AWAM TANGGUNGJAWAB AWAM

Seringkali kita mendengar rungutan tentang kebersihan tandas awam.  Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna tandas awam hanya mementingkan diri sendiri, lepas buang blah macam tu je…langsung tidak bermoral, tidak punya kesedaran sivik. Amat menyedihkan apabila perkara yang wajib kita lakukan iaitu flush selepas guna tandas pun perlu diberitahu dan diingatkan!
Kebersihan tandas adalah tanggungjawab bersama. Jangan jadi pengotor! Jangan jejaskan imej negara di mata pelancong asing! Jangan terlalu mementingkan diri sendiri! Ingatlah kebersihan sebahagian daripada iman. 

Tuesday, 1 May 2012

AMBIL IKTIBAR...HARGAILAH KEAMANAN NEGARA!!!


Perhimpunan haram Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April yang lalu menjadi saksi kepada betapa biadapnya dan tidak bertamadun sesetengah rakyat di negara ini.
Mereka memekik dan melolong bahawa mereka punya hak untuk berhimpun di Dataran Merdeka atas alasan mereka adalah rakyat negara ini. Mereka bertindak merempuh sekatan polis, merosakkan kereta peronda polis dan memukul polis yang bertugas menjaga keselamatan awam.
Tindakan mereka jelas menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang negara. Dimanakah letaknya kredibilti mereka sebagai rakyat negara ini?
Negara ini tiada tempat untuk mereka yang hanya tahu mencabul kedaulatan undang-undang negara, yang hanya tahu mencetuskan anarki dan mencemarkan imej negara yang mereka dakwa sebagai rakyat.
Negara kita yang didukung oleh kerajaan yang berkuasa pada hari ini adalah atas kehendak dan suara majoriti rakyat berteraskan sistem dan amalan demokrasi berperlembagaan. Jelas sekali majoriti rakyat negara ini menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara dan idamkan keamanan dan keharmornian negara.
Bukankah mereka itu juga rakyat negara ini yang punya hak untuk hidup dengan aman dan harmoni?