Saturday, 20 April 2013

GURU ANTI KERAJAAN BHG 2

Perkara 1.2 Lampiran C (Perkara 5.0) Surat Aku Janji untuk Pegawai Awam menegaskan kakitangan kerajaan dikehendaki menumpukam kesetiaan dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan yang memerintah (government of the day) serta dasarnya tanpa mengira parti yang berkuasa. Pegawai yang menentang atau mengkritik serta mempersoalkan dasar negara dan kerajaan akan merosakkan kebolehpercayaan dan keutuhan perkhidmatan awam keseluruhannya. Dalam ertikata lain kakitamgan kerajaan dilarang memburuk serta memperkecilkan dasar dan tindakan Kerajaan.
Justeru, kerajaan melaksanakan Surat Aku Janji kerana kerajaan mendapati wujudnya pemikiran dan tindakan segelintir kakitangan awam yang secara terang-terangan mengambil sikap tidak setia dan kerap memburukkan kerajaan yang memerintah.
Namun, bolehkah kakitangan awam yang berhaluan kiri, yang taksub dan fanatik kepada ideologi dan perjuangan parti politik pembangkang, yg telah mengabadikan seluruh jiwa dan raganya untuk menyokong dan menerima perjuangan parti politik pembangkang berupaya untuk memberi sokongan sepenuhnya dan taat setia kepada kerajaan?
Tidakkah dengan melemparkan tuduhan liar dan tidak berasas terhadap kerajaan setiap kali ‘berceramah’ di bilik guru, di kantin atau dalam kawasan sekolah yang lain mencerminkan penentangan terhadap kerajaan sekaligus mejejaskan kredibiliti dan keutuhan kerajaan?
Sebenarnya golongan ini keliru dan tidak dapat membezakan antara bidang tugas seorang kakitangan kerajaan dengan konsep taat setia dan sokongan kepada kerajaan. Bidang tugas seorang kakitangan kerajaan sudah tentu untuk menjalankan tugas di bidang masing2 samada sebagai seorang guru, askar, doktor, polis dan sebaginya. Itu adalah tugas hakiki dan tidak perlu dipersoalkan kerana kalau tak suka kerja dengan kerajaan boleh blah bila-bila masa, Namun dalam menjalankan tugas sebagai seorang kakitangan awan, tugas dan konsep taat setia kepada kerajaan yang menggaji kita adalah dua perkara yang berbeza.
Amat menyedihkan apabila ada guru kanan matapelajaran yang lantang membuat tohmahan bahawa belanjawan 23 Oktober 2010 amat memalukan dan penuh dengan rasuah. Apa tidaknya, guru tersebut berasa ‘kehilangan’ kerana durian yang ditunggu-tunggu tak runtuh. Dalam ertikata lain, tindakan kerajaan tidak memberi bonus sebulan kepada kakitangan awam pada belanjawan masa itu dianggap suatu kerugian besar kepada mereka. Ibarat cacing kepanasan, direkanya tohmahan dan fitnah kononnya kerajaan dah hampir muflis dan macam-macam lagi. Bukankah ini ciri-ciri seorang kakitangan awam yang tidak menyokong tindakan kerajaan dan tidak setia kepada kerajaan walaupun dia menjalankan tugas mengajar?
Terdapat guru yang diamanahkan untuk menggubal soalan peperiksaan sekolah bagi matapelajaran matematik telah memasukkan unsur politik dalam soalan peperiksaan tersebut. Ada juga golongan pentadbir yang secara terang-terangan menghentam kerajaan dalam kawasan sekolah tapi dinaikkan pangkat ke jawatan pengetua dan kemudiannya menjawat jawatan PPD. Malah, pernah ada ustaz yang menghasut pelajar yang mendiami asrama desa supaya tidak mengambil makanan yang disediakan dengan mendakwa makanan tersebut haram kerana ditaja oleh kerajaan. Di mana letaknya taat setia dan kredibiliti mereka sebagai seorang kakitangan awam? Bukankah tindakan mereka ini telah memburukkan dan mencemarkan imej perkhidmatan awam?
Adakah kakitangan awam yang memburukkan dan memperkecilkan tindakan kerajaan dengan mengatakan kerajaan rasuah dan akan muflis kerana memberi bantuan kepada rakyat seperti BRIM, Bantuan Persekolahan RM100 kepada setiap murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5, Baucar Buku RM250 untuk pelajar IPT dan Tingkatan Enam dan lain-lain boleh dikategorikan sebagai seorang yang taat setia yang mendokong dan menyokong segala program dan tranformasi kerajaan?
Adakah tindakan memperlekehkan dan menghina dasar negara kita dengan membuat perbandingan yang berat sebelah dengan dasar negara lain seperti Australia boleh dianggap mempunyai semangat patriotisme dan memelihara nama baik kerajaan? Begitu juga dengan kakitangan kerajaan yang mempersoalkan dasar dan tindakan kerajaan membeli jet pejuang dan isu royalti minyak di Kelantan menampakkan penentangan secara terang-terangan terhadap dasar dan tindakan kerajaan. Tindakan ini jelas melanggari Perkara 4.1.1 (4) Frasa 1 Surat Aku Janji.
Bukankah dengan melabel pemimpin yang telah banyak berbakti dan berjasa membangunkan negara seperti Tun Mahathir membawa kerosakan kepada negara sebagai suatu niat jahat bertujuan untuk memburukan peminpin tertentu kerana kepentingan politik.
Begitu juga dengan menuduh kerajaan sebagai proksi kepada parti politik tertentu apabila berlaku kekecohan telah mencemarkan keutuhan dan kewibawaan kerajaan yang sepatutnya mereka pertahankan.
Adalah jelas golongan ini bersikap anti kerajaan dan memutarbelitkan kenyataan tanpa rasa tanggungjawab dengan tujuan menghasut orangramai untuk membenci kerajaan dan menerapkan aspirasi politik parti pembangkang. Tidak ada sedetik pun perasaan taat setia dan menyokong kerajaan yang menggaji mereka. Semua yang tidak kena pada mereka adalah salah kerajaan. Kalau anak dia malas belajar dan tak lulus periksa itu pun pasti salah kerajaan.
Tidakkah mereka sedar sebarang tindakan dan kegiatan anti kerajaan akan memberi impak yang negatif terhadap kerajaan serta menjejaskan imej dan integriti kerajaan dan jelas melanggar Perkara 1.2 Lampiran C Surat Aku Janji untuk Pegawai Awam.
Setiap seorang dari kita punya hak untuk buat pilihan parti mana yang kita sokong kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan. Nak tentang parti UMNO boleh, tapi lakukannnya secara senyap-senyap melalui peti undi dalam pilihanraya bukannya ‘menyalak’ tak tentu pasal di laman sosial atau di premis kerajaan yang menggaji mereka. Dalam ertikata lain, mereka kena tutup mulut pasal politik lebih-lebih lagi politik anti-kerajaan selagi mereka bergelar kakitangan kerajaan.
Kakitangan kerajaan terutama guru mesti bertanggungjawab untuk mendokong dan menjayakan semua dasar dan program transformasi kerajaan. Bukan setakat menjalankan tugas mengajar sebaliknya bersifat talam dua muka, umpama kacang lupakan kulit, umpama pagar makan padi!!!

Saturday, 6 April 2013

TUISYEN

Pandangan rakan sekerja mengatakan bahawa tuisyen tidak diperlukan kerana anaknya tidak pernah menghadiri kelas tuisyen dan mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan adalah tidak logik dan tidak rasional.
Hujah beliau ialah jika anaknya boleh mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan tanpa menghadiri kelas tuisyen, maka orang lain juga tidak perlu menghadiri kelas tuisyen. Premisnya ialah keputusan peperiksaan menjadi tidak baik kerana menghadiri kelas tuisyen.
Adalah jelas bahawa hujah beliau adalah suatu falasi yang merujuk kepada sebab yang salah. Beliau cuba menerangkan suatu keadaan iaitu tidak perlu menghadiri kelas tuisyen dengan memperlihatkan suatu keadaan yang berlaku sebelumnya iaitu anaknya mendapat keputusan baik tanpa perlu menghadiri kelas tuisyen.
Sebenarnya tiada pertalian yang sebenar antara dua keadaan atau situasi tersebut. Keputusan cemerlang anaknya dalam peperiksaan boleh disebabkan faktor-faktor seperti baka atau genetik, keadaan persekitaran di sekolah dan di rumah, pengaruh rakan sebaya, kemudahan belajar yang selesa, galakan dan sokongan moral ibubapa, pemakanan dan lain-lain lagi. Sebaliknya anaknya berkemungkinan mendapat keputusan yang jauh lebih cemerlang sekiranya menghadiri kelas tuisyen.
Jadi tidak ada pertalian antara keputusan peperiksaan anaknya dengan kelas tuisyen kerana seseorang mungkin tidak menghadiri kelas tuisyen dan keputusan peperikssannya tetap tidak baik kerana factor-faktor lain.
Justru, jika seseorang itu yakin bahawa tuisyen boleh membimbing dan membantunya meningkatkan prestasi dengan lebih berkesan, maka tidak ada sebab mengapa tidak perlu menghadiri kelas tuisyen. .