Friday, 12 September 2014

BOCOR...

Kertas soalan UPSR Sains dan BI didapati bocor dan pelajar terpaksa mendudukinya semula pada 30 Sepember ini. Saya bersimpati pada diri sendiri dan isteri serta semua ibu bapa yang telah melakukan yang terbaik dari semua aspek demi kecemerlangan anak. Ada ibubapa yang ambil cuti sampai 3 hari untuk menemani dan membaca Yasin semasa anak menduduki peperiksaan. Inilah caranya kita membantu dan memberi sokongan kepada anak-anak, bukannya menyogok mereka dengan soalan bocor.
Kesian ibubapa dan pelajar yang telah membuat perancangan awal semuanya tergendala. Namun ada hikmahnya kebocoran dikesan. Pihak yang bertanggungjawab membocorkan soalan tidak akan terlepas begitu saja. Sebaliknya guru yang memberi soalan bocor dan menyuruh pelajar menghafal bulat-bulat hanya memperbodohkan diri sendiri dan pelajarnya.
Pelajar yang rajin dan ikhlas membaca selama ini tak perlu risau. Mereka pasti dapat menjawab dengan yakin berbanding pelajar yang cuma hafal jawapan.
Walaupun kecemerlangan UPSR penting untuk pelajar tetapi kejayaan yang diperoleh dengan cara yang tidak bermoral tidak akan membawa pelajar ke mana. Imej KPM walaupun dah tercalar hendaklah memastikan kebocoran tidak berlaku lagi dalam mana-mana peringkat peperiksaan terutamanya PT3 yang mana keseluruhan sistemnya masih kabur dan akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini. Yang pastinya saya tidak mau melalui keperitan ini untuk kali kedua!