Friday, 12 October 2012

ISLAM: ISU DAN PERSOALAN

Pengalaman, pergaulan dan pemerhatian saya dengan orang bukan Islam sebelum dan selepas saya memeluk Islam membuatkan saya lebih memahami dan mengenali reaksi dan persepsi orang bukan Islam terhadap agama Islam secara keseluruhan.
Bagi diri saya, perkongsian ilmu agama antara org Islam dan bukan Islam hanya berlaku apabila wujud pertukaran pendapat secara interaktif antara orang bukan Islam dgn org Islam ttg kepercayaan agama masing-masing untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai sesuatu agama. Sekadar mencelup satu artikel ttg Islam di Internet contohnya berkaitan hukum hudud dan diposkan ke fb bukanlah perkongsian ilmu antara agama. Lagipun Itu bukan idea atau pendapat dia malahan bukan kepercayaan atau pegangan agama dia. Apa yang nak dikongsi sebenarnya?
Saya tidak mempertikaikan keesahan artikel itu malah tidak mengatakan artikel itu tidak perlu dibaca. Yang merisaukan ialah mungkin ada di kalangan mereka yang cuba mendekati isu tersebut kerana inginkan populariti. Mungkin juga ada mereka yg cuba mengambil kesempatan untuk melagakan pandangan sesama orang Islam. Lihatlah saja mereka saling menyokong antara satu dengan yg lain. Dunia Islam sudah punya banyak musuh yang selalu memburukkan Islam dan menimbulkan kekeliruan terhadap ajaran Islam seperti dalam filem “Innocence of Muslims” yang di kutuk oleh masyarakat Islam sedunia. Sebaliknya apakah respon dari mereka yang bukan Islam? Fikirkan.
Islam itu syumul iaitu agama yang lengkap dan menyeluruh. Tahap keyakinan orang Islam terhadap agama Islam dan ajaran Islam adalah 100%. Mudah-mudahan tulisan saya ini dapat meleraikan kekusutan di dalam perbincangan isu dan persoalan ttg Islam..

Wednesday, 19 September 2012

PENILAIAN MENENGAH RENDAH

Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 akan menjelang tidak lama lagi. Pihak sekolah dan guru menaruh harapan yang tinggi terhadap prestasi dan pencapaian pelajar dalam PMR. .Mereka menyimpan segunung impian, menghimpun sejuta harapan agar pelajar berjaya dengan cemerlang.
Walaupun tempoh peperiksaan PMR hanya lebih kurang selama satu minggu, pengaruh dan kesannya ke atas corak kehidupan seorang guru amat besar dan menakjubkan. Kehidupan seorang guru menjadi tertekan, cemas, risau, gelisah dan ada yang jatuh sakit.
Mereka bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga melaksanakan pelbagai program semata-mata untuk meningkatkan prestasi dan memastikan kecemerlangan pelajar dalam PMR.
Namun adakah pelajar-pelajar berfikir sejenak, kejayaan cemerlang mereka dalam PMR nanti dapat memberi kegembiraan dan kepuasan hati serta membanggakan guru mereka? Sebaliknya sikap mereka yang melepaskan batuk di tangga dalam persediaan menghadapi PMR amat mengecewakan.
Para guru telah melakukan yang terbaik dalam persediaan pelajar menghadapi PMR. Terpulang kepada pelajar untuk menggalas impian dan harapan guru. Kini hanya doa dan tawakal daripada guru kepada Allah SWT mengiringi pelajar untuk mencapai kejayaan. Kepada para pelajar, berusahalah sebaik mungkin, insyaallah akan beroleh kejayaan. Amin..

Friday, 10 August 2012

HALIA TUA

Novel karya Ernest Hemingway "The Old Man And The Sea" memperlihatkan kisah perjuangan seorang tua yang tidak mengenal erti kekalahan, meskipun sudah tua usianya, tetapi  keberanian dan keyakinan  tinggi yang dimilikinya, serta kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi perjuangan, maka dia telah mencapai kejayaan di akhir sebuah perjuangan yang begitu hebat dan mencabar. 
Kita seharusnya mengambil ikhtibar dari kisah ini bahawa orang yang sudah meningkat tua sebenarnya punya banyak kelebihan tersendiri, banyak pengalaman hidup, banyak asam garam kehidupan ibarat halia yang banyak faedah dan kegunaannya, makin tua makin pedas...maka hormatilah orang yang lebih tua dari kita sesungguhnya ia merupakan amalan yang wajib dan mulia di sisi agama.

Friday, 20 July 2012

RAMADHAN

Saya tertarik dengan rancangan ‘Tanyalah Ustaz” di TV9 pada pagi Jumaat dengan tajuk "Keindahan Ramadhan". Antara lain ia membicarakan bahawa hidup ini terlalu singkat, janganlah kita penuhkan dengan sengketa dan airmata. Dalam kesingkatan masa ini, kita haruslah banyak bersabar dan redha dengan ketentuanNya.
Saya bersyukur kepada Allah swt kerana diberi peluang untuk bertemu bulan Ramadhan sekali lagi. Saya berasa gembira kerana masih diberi peluang untuk merebut pahala di bulan yang mulia ini.
Kita tidak diberi jaminan akan bertemu Ramadhan pada tahun hadapan, jadi buatlah yang terbaik selagi masih diberi peluang. Hidup di dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal adalah di akhirat. Maka bawalah isteri dan anak-anak mahupun sanak-saudara untuk sama-sama memburu pahala Lailatulqadar dan mengimarahkan masjid di bulan yang mulia ini.
Samada Allah nak bagi pahala atau tidak, itu Allah yang tentukan, bukan hak kita untuk menuntut. Jadilah hamba Allah, bukan jadi kuli Allah. Jadikan bulan Ramadan untuk beribadah bukan untuk juadah. Sambutlah kedatangan Ramadhan dengan kegembiraan dan tangisilah apabila Ramadhan meninggalkan kita.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam, khususnya pengunjung blog saya. Semoga Ramadhan tahun ini membawa lebih keberkatan kepada kita semua.

Thursday, 12 July 2012

REZEKI

Pertama sekali aku ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana semakan keputusan urusan kenaikan pangkat secara online memaklumkan aku telah berjaya mendapat kenaikan dari Gred DG44 ke Gred DG48. Aku amat gembira dengan rezeki yang Allah berikan untuk ku. Aku berharap kegembiraan ini dapat di kongsi bersama rakan sekerja dan bukannya berasa dengki atau bermasam muka dengan kenaikan pangkatku.
Sebenarnya tiada sebab untuk seseorang bersikap demikian kerana setiap guru tetap akan mendapat kenaikan pangkat apabila sudah sampai tempohnya. Sabar je kerana Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Sebagai orang Islam, kita harus terima bahawa rezeki itu ialah jaminan akan tanggungan Allah SWT, yang akan diberikan kepada setiap orang.
Dulu masa rakan-rakan sekerja dapat guna pakai formula ex-PPLD 7+3 untuk kenaikan pangkat Gred DG41 ke DG44 aku terlepas kerana dah pun masuk DG44 ikut time-based 10 tahun. Aku agak kecewa namun setelah beberapa tahun kemudian baru aku nampak hikmahnya kenapa tak dapat rezeki guna formula tersebut pada masa itu. Rupa-rupanya dengan keizinanNya, aku diberi rezeki yang lebih baik dengan kenaikan pangkat ini. Ingatlah rezeki Allah sentiasa ada untuk kita. Kalau kita masih belum menerima rezeki pemberian dari Allah swt kita bersabar. Sebaliknya kita hendaklah bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah pada kita, tak kiralah apa yang kita dapat tu banyak atau sikit. Apa yang penting ialah kita bersyukur dan berterima kasih dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita.

Saturday, 7 July 2012

TABIAT MEMBACA


Tiada siapa boleh menafikan membaca amat penting untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Malah ungkapan “Membaca Jambatan Ilmu” sering kali di gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam mencari ilmu pengetahuan.
Pihak sekolah telah memainkan peranan menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan mengadakan pelbagai program, kempen dan aktiviti seperti Program Nilam, menganjurkan Bulan Bahasa, pertandingan bercerita, bersajak, menulis cerpen, mengadakan sudut bacaan dalam kelas dan lain-lain lagi.
Namun tabiat malas membaca terutama di kalangan pelajar sekolah terus menjadi satu isu yang tak berkesudahan. Di mana silapnya?
Pada perkiraan saya, tabiat malas membaca ini adalah umpama penyakit dalam diri sendiri. Berjumpa doktor atau pakar kesihatan sekalipun tidak mampu mengubati sikap malas membaca ini. Sebenarnya tidak ada sesiapa yang boleh membantu kecuali diri kita sendiri.
Dari aspek lain, dalam masyarakat kita, penyuburan sikap suka membaca di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi tidak dipupuk. Ibubapa tidak sanggup memperuntukkan perbelanjaan bulanan untuk membeli bahan-bahan bacaan untuk anak-anak. Dalam ertikata lain, tabiat membaca bukanlah satu budaya dalam masyarakat kita. Ini amat berbeza dengan orang Jepun yang menjadikan membaca satu budaya. Itulah antara sebab mereka lebih maju dan berjaya daripada kita. Budaya membaca perlu diterapkan dalam masyarakat negara kita.
Selain itu, membaca itu sendiri bersifat relatif, maksudnya jenis atau bahan bacaan yang di baca berbeza bagi sesetengah orang. Tiada penanda aras tentang bahan bacaan yang perlu dibaca oleh seseorang. Adakah dengan banyak membaca bahan bacaan seperti komik dan majalah hiburan atau masakan maka bolehlah kita katakan seseorang itu mempunyai budaya membaca yang sihat?
Usaha memupuk tabiat suka membaca memang sukar dilakukan. Ia bukan boleh berlaku dalam tempoh sehari dua. Ia memerlukan keazaman dan komitmen yang tinggi dari semua pihak. Yang paling penting ialah perlu adanya satu proses permulaan dan tiada yang lebih tepat dan sesuai melainkan tapak awalnya bermula di rumah dimana ibubapa sendiri perlu menunjukkan tabiat suka membaca kerana yang paling mudah diikuti oleh anak-anak ialah apa yang dilakukan oleh ibubapa mereka. Pendidikan sebenarnya bermula dari rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan minat membaca semasa di rumah supaya menjadi teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah kerap membawa anak-anak ke pameran atau karnival buku selain kedai-kedai buku.
Di peringkat sekolah, ganjaran atau pemberian hadiah untuk pelajar dalam sebarang program dan aktiviti sekolah hendaklah menjurus ke arah memartabatkan budaya membaca. Maka pemberian hadiah dalam bentuk buku-buku ilmiah atau baucer untuk membeli buku dilihat lebih sesuai untuk memupuk semangat dan suasana membaca di kalangan pelajar.. Hadiah dalam bentuk barangan elektrik atau basikal lebih sesuai untuk cabutan bertuah dalam majlis keramaian.
Pendekata, usaha menanam minat membaca dalam kalangan pelajar bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah, malah ibu bapa dan masyarakat harus memainkan peranan.

Saturday, 26 May 2012

PERKHEMAHAN PERDANA


KENANGAN...
Mengikut perancangan, Perkhemahan Perdana Unit Uniform SMKPJ di Pantai Merdeka  selama 3 hari 2 malam iaitu dari 24-26 Mei 2012. Aku tak dapat join pada hari pertama perkhemahan kerana menghadiri mesyuarat ULKCP BI untuk Pentaksir di Safira Country Club, Seberang Perai Utara dari 23-24 Mei 2012.
Namun perancangan untuk berkhemah dan melaksanakan semua aktiviti selama 3 hari tidak kesampaian. Peristiwa malang berlaku pada malam pertama perkhemahan apabila ribut melanda lebih kurang 12 tengah malam. Atas nasihat pihak tertentu, perkhemahan tersebut terpaksa di tamatkan lebih awal. Semua peserta dibenarkan pulang pada hari kedua lebih kurang 6.30 petang.
Jelas terpancar kekecewaan di wajah para peserta apabila diberitahu perkhemahan terpaksa ditamatkan lebih awal tapi apa boleh buat. Tiada apa yang lebih penting daripada keselamatan para peserta.
Aku terus bermalam di situ sehingga keesokan hari kerana telah menempah chalet untuk keluargaku. Malam itu, selepas maghrib ribut melanda sekali lagi. Namun aku bersyukur kerana para peserta sudah kembali ke rumah masing-masing.
Benarlah kata, kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Aku bersyukur kerana semuanya selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
MAKAN SEBELUM PULANG
SELAMAT PULANG...

Tuesday, 15 May 2012

HARI GURU


Hari Guru datang lagi. Tanggal 16 Mei dianggap sebagai hari yang amat bermakna buat insan yang bergelar guru. Besar sekali pengorbanan dan jasa guru sehingga sering diibaratkan sebagai lilin membakar diri menerangi orang lain. Walaupun tema Hari Guru silih berganti tetapi tugas dan tanggungjawab guru menabur bakti tetap sama.
Tahun ini merupakan yang ke 27 aku mencurah khidmat bakti dalam bidang perguruan. Satu tempoh masa yang agak lama penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan, pengalaman manis, pahit, suka dan duka.
Mengimbau kenangan kembali, kisah bermula dengan posting pertamaku di Baling. Walaupun rasa kecewa dan keberatan atas penempatan tersebut, aku menyahut cabaran dan tabah mengharungi liku-liku kehidupan sepanjang masa berada di sana. Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa penempatan di Baling akan mencorak sebahagian besar hidupku. Di situlah aku memeluk Islam, di situ jugalah aku bertemu jodoh dengan bekas anak muridku.
Bagi diri aku, apa yang berlaku sepanjang karierku sebagai seorang guru, walau perit dan pahit mana sekalipun, aku terima semuanya sebagai realiti sebuah kehidupan. Aku sedar dan terima bahawa dalam melayari kehidupan ini memang ada cabaran dan dugaan. Tidak lengkap kehidupan tanpa cabaran.
Buat semua insan yang bergelar guru, khasnya bekas guru-guruku di Pulau Pinang, Selamat Hari Guru dimana jua anda berada, jasamu akan dikenang selamanya.

Monday, 14 May 2012

IBU


Selepas solat Jumaat pada 11 Mei 2012, aku bergegas pulang ke rumah ibuku di Pulau Pinang. Walaupun aku tidak membawa buah tangan kecuali kopi O cap keretapi kegemaran ibuku, namun kepulanganku disambut dengan kegembiraan yang jelas terpancar di wajahnya.
Namun aku berasa sedikit terkilan apabila tidak dapat menyahut pelawaan ibu agar bermalam di rumahnya kerana ada kelas tuition BI di sekolah pada hari Sabtu. Aku sentiasa berdoa agar diberi banyak masa untuk kerap mengunjungi ibu. Aku sedar ibu memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana selain usianya yang sudah lanjut beliau menghidap penyakit “osteoporosis”.
Sesungguhnya jasa dan pengorbanan seorang ibu tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Oleh itu hargailah dan sayangkan ibu kita setiap masa, bukannya terhad kepada hari tertentu sahaja. Terima kasih ibu!!! Semoga Allah lanjutkan usia ibuku dan diberi hidayah. Amin.

Tuesday, 8 May 2012

ITULAH BOLA...

Permainan bolasepak memang sukar di ramal. Bak kata orang bola itu bulat. Pasukan pilihan yang memiliki pemain ternama dan popular tak semestinya menang. Meskipun dilimpahi dengan pemain bintang, ia bukan tiket automatik buat melakar kejayaan.
Status Barcelona dan Real Madrid sebagai kelab bolasepak gergasi dunia dengan memiliki Lionel Messi, pemain terbaik dunia dan Cristiano Ronaldo, pemain termahal dunia, tidak dapat dipertikaikan.
Namun kedua-dua kelab tersebut gagal melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara, pertandingan paling prestij dalam kancah bolasepak Eropah. Ini jelas memperlihatkan bahawa pasukan yang kuat dan digeruni tidak semestinya menang, manakala yang lemah tidak semestinya tewas. Pasukan Chelsea dengan 10 pemain boleh bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan Barcelona dan seterusnya melangkah kaki ke final. Itulah bola! Kuat atau popular tidak semestinya menang!
Percaturan strategi dan perancangan yang mantap  serta persefahaman yang baik dan kukuh sebagai satu pasukan amat penting untuk melakar kejayaan. Kejayaan Jepun dan Korea Selatan di Piala Dunia 2002 menjadi saksi bagaimana perancangan jangka panjang yang sistematik dan profesional terhadap sukan bolasepak di negara mereka telah membuahkan hasil.
Begitu juga dalam konteks sesebuah organisasi, perlu adanya perancangan strategik serta kerjasama dan semangat kekitaan sebagai satu pasukan ke arah merealisasikan visi dan misi yang digariskan. Baik kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Maka akan wujud kepuasan dan kegembiraan hati semua anggota dalam organisasi dan mengelakkan berlakunya perbalahan.

Thursday, 3 May 2012

HANYA SATU KEINGINAN...


Pernahkah anda membaca atau mendengar kisah “The Big Apple Tree”? Intipati kisah ini memaparkan bagaimana seorang ibu atau bapa sanggup mengorbankan segala-galanya, hatta dirinya sekali demi kasih sayangnya terhadap anak. Sebaliknya hanya satu keinginan sahaja bagi seorang ibu atau bapa, sentiasa mengharapkan dan merindui kehadiran  anak di sisi menemaninya di usia tuanya, bukannya nilai harta benda atau sebarang bentuk kebendaan dan kemewahan yang dicurahkan tanpa kehadiran anaknya. Maka seseorang anak hendaklah sentiasa mengenang jasa dan membalas budi mereka dengan sentiasa mengunjungi mereka, dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan dan keberkatan hidup mereka. 
Jangan sampai bila ibubapa dah tiada barulah kita menyesal kerana tidak menunaikan tanggungjawab seorang anak. Jangan bila ibubapa kita dah tiada, barulah kita sedar yang banyak perkara sebenarnya kita boleh lakukan bersama ketika mereka masih hidup! Bila itu semua terjadi, ianya sudahpun terlambat sebab tiada makna lagi walaupun menangis air mata darah, menangis penyesalan yang tak bertepi. Hakikatnya, kita hanya ada seorang ayah dan seorang emak.

“A parent is someone you look up to no matter how tall you grow.”

Wednesday, 2 May 2012

TANDAS AWAM TANGGUNGJAWAB AWAM

Seringkali kita mendengar rungutan tentang kebersihan tandas awam.  Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna tandas awam hanya mementingkan diri sendiri, lepas buang blah macam tu je…langsung tidak bermoral, tidak punya kesedaran sivik. Amat menyedihkan apabila perkara yang wajib kita lakukan iaitu flush selepas guna tandas pun perlu diberitahu dan diingatkan!
Kebersihan tandas adalah tanggungjawab bersama. Jangan jadi pengotor! Jangan jejaskan imej negara di mata pelancong asing! Jangan terlalu mementingkan diri sendiri! Ingatlah kebersihan sebahagian daripada iman. 

Tuesday, 1 May 2012

AMBIL IKTIBAR...HARGAILAH KEAMANAN NEGARA!!!


Perhimpunan haram Bersih 3.0 di Kuala Lumpur pada 28 April yang lalu menjadi saksi kepada betapa biadapnya dan tidak bertamadun sesetengah rakyat di negara ini.
Mereka memekik dan melolong bahawa mereka punya hak untuk berhimpun di Dataran Merdeka atas alasan mereka adalah rakyat negara ini. Mereka bertindak merempuh sekatan polis, merosakkan kereta peronda polis dan memukul polis yang bertugas menjaga keselamatan awam.
Tindakan mereka jelas menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang negara. Dimanakah letaknya kredibilti mereka sebagai rakyat negara ini?
Negara ini tiada tempat untuk mereka yang hanya tahu mencabul kedaulatan undang-undang negara, yang hanya tahu mencetuskan anarki dan mencemarkan imej negara yang mereka dakwa sebagai rakyat.
Negara kita yang didukung oleh kerajaan yang berkuasa pada hari ini adalah atas kehendak dan suara majoriti rakyat berteraskan sistem dan amalan demokrasi berperlembagaan. Jelas sekali majoriti rakyat negara ini menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang negara dan idamkan keamanan dan keharmornian negara.
Bukankah mereka itu juga rakyat negara ini yang punya hak untuk hidup dengan aman dan harmoni?

Saturday, 28 April 2012

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI...

Pertandingan kawad antara unit uniform sempena Hari Kokurikulum SMKPJ telah berlangsung pada 28 April 2012. Saya bersyukur kerana pasukan kawad PBSM telah berjaya membuat persembahan yang agak baik. Tahniah pasukan kawad PBSM atas semangat juang dan daya ketahanan tinggi yang ditunjukkan.Tidak sia-sia penat 
lelah berlatih setiap petang.
Buat pasukan kawad PBSM, janganlah kecewa dan berputus asa kerana tidak berjaya mendapat tempat. Ingatlah bahawa kejayaan tidak hadir semalaman. Ia memerlukan masa untuk mencapai tahap konsisten dan membentuk persefahaman antara ahli dalam pasukan.
Semoga penyertaan sulong ini akan menjadi medan untuk pasukan kawad PBSM bertambah mantap dan menjadi dorongan untuk mencapai kejayaan pada tahun hadapan.

.

Friday, 27 April 2012

APA BOLEH BUAT...


Negara kita mempunyai infrastruktur jalanraya terbaik di kalangan negara membangun. Namun setiap saat, setiap detik, setiap waktu berlaku kemalangan di jalanraya. Saya tertarik dengan satu Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Pengarah JPJ Pulau Pinang mengatakan bahawa kemalangan di jalanraya disebabkan pemandu menjadi bebal di jalanraya. Dalam ertikata lain, mereka sengaja menempah nahas atau maut.Agak menghairankan kerana golongan ini bukan jenis yang tidak berpendidikan, bukannya buta huruf tak erti undang-undang jalanraya, malah dikalangan mereka itu terdiri daripada peguam, guru, pengarah dan pegawai atasan yang lain. Di tempat kerja mereka menguatkuasakan undang-undang dan peraturan tapi di jalanraya mereka menjadi dungu, tak faham peraturan jalanraya. Agaknya mereka ini dah bosan dengan hidup atau apakah mereka ini tidak sayangkan isteri dan anak-anak? Malang buat isteri dan anak-anak andainya mereka ini mati atau cacat akibat kemalangan. 
Saya tertarik dengan beberapa slogan yang dicadangkan oleh mereka yang prihatin tentang keselamatan di jalanraya, antaranya ‘Tekan Minyak Lagi, Biar Cepat Mati’,
‘Tiada Siapa Rugi Jika Anda Mati’. Saya berpendapat tiada gunanya dipaparkan slogan sedemikian kerana ia akan mengundang kegilaan ego yang lebih memuncak di kalangan mereka yang memang gila apabila berada di jalanraya.
Adalah jelas bahawa sikap pemandu merupakan punca utama berlaku kecelakaan jalanraya. Apa boleh buat? Kalau sikap pemandu sendiri yang tidak mahu berubah maka tidak ada gunanya walau diadakan banyak mana pun slogan atau operasi!

Saturday, 24 March 2012

JANJI MANISmu???


Kata pepatah Melayu lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Maknanya janji yang sudah diucapkan mestilah ditepati kerana harga manusia terletak pada janjinya itu.
Agaknya kerana lembu suka berak merata menyusahkan orang maka perlu dipegang atau ditarik dengan tali, biar berdarah hidungnya sekalipun agar tidak berak sini sana menyusahkan orang, tapi manusia yang suka menabur janji sini sana tapi tak pernah menepati atau menunaikannya agaknya patut ditumbuk biar berdarah hidung kerana menyakitkan dan mengecewakan orang dengan janji-janji palsunya kemudian memberi bermacam-macam alasan sebab memungkiri janjinya.
Kita boleh buat 1001 macam janji tapi pastikan kita mampu menunaikannya. Janganlah kita jadi manusia yang hanya pandai menaburkan janji, janji dan janji tapi susah sekali nak mengotakan janji-janji tersebut. Ingatlah janji yang dibuat mestilah ditunaikan. Berhati-hatilah mengucapkan janji pada orang lain kerana memungkiri janji akan makan diri. Janji adalah hutang dan oleh itu ia harus ditepati. Belajarlah menepati janji!