Wednesday, 19 September 2012

PENILAIAN MENENGAH RENDAH

Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 akan menjelang tidak lama lagi. Pihak sekolah dan guru menaruh harapan yang tinggi terhadap prestasi dan pencapaian pelajar dalam PMR. .Mereka menyimpan segunung impian, menghimpun sejuta harapan agar pelajar berjaya dengan cemerlang.
Walaupun tempoh peperiksaan PMR hanya lebih kurang selama satu minggu, pengaruh dan kesannya ke atas corak kehidupan seorang guru amat besar dan menakjubkan. Kehidupan seorang guru menjadi tertekan, cemas, risau, gelisah dan ada yang jatuh sakit.
Mereka bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga melaksanakan pelbagai program semata-mata untuk meningkatkan prestasi dan memastikan kecemerlangan pelajar dalam PMR.
Namun adakah pelajar-pelajar berfikir sejenak, kejayaan cemerlang mereka dalam PMR nanti dapat memberi kegembiraan dan kepuasan hati serta membanggakan guru mereka? Sebaliknya sikap mereka yang melepaskan batuk di tangga dalam persediaan menghadapi PMR amat mengecewakan.
Para guru telah melakukan yang terbaik dalam persediaan pelajar menghadapi PMR. Terpulang kepada pelajar untuk menggalas impian dan harapan guru. Kini hanya doa dan tawakal daripada guru kepada Allah SWT mengiringi pelajar untuk mencapai kejayaan. Kepada para pelajar, berusahalah sebaik mungkin, insyaallah akan beroleh kejayaan. Amin..

No comments:

Post a Comment