Pihak sekolah telah memainkan peranan menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar dengan mengadakan pelbagai program, kempen dan aktiviti seperti Program Nilam, menganjurkan Bulan Bahasa, pertandingan bercerita, bersajak, menulis cerpen, mengadakan sudut bacaan dalam kelas dan lain-lain lagi.
Namun tabiat malas membaca terutama di kalangan pelajar sekolah terus menjadi satu isu yang tak berkesudahan. Di mana silapnya?
Pada perkiraan saya, tabiat malas membaca ini adalah umpama penyakit dalam diri sendiri. Berjumpa doktor atau pakar kesihatan sekalipun tidak mampu mengubati sikap malas membaca ini. Sebenarnya tidak ada sesiapa yang boleh membantu kecuali diri kita sendiri.
Dari aspek lain, dalam masyarakat kita, penyuburan sikap suka membaca di kalangan anak-anak sejak mereka kecil lagi tidak dipupuk. Ibubapa tidak sanggup memperuntukkan perbelanjaan bulanan untuk membeli bahan-bahan bacaan untuk anak-anak. Dalam ertikata lain, tabiat membaca bukanlah satu budaya dalam masyarakat kita. Ini amat berbeza dengan orang Jepun yang menjadikan membaca satu budaya. Itulah antara sebab mereka lebih maju dan berjaya daripada kita. Budaya membaca perlu diterapkan dalam masyarakat negara kita.
Selain itu, membaca itu sendiri bersifat relatif, maksudnya jenis atau bahan bacaan yang di baca berbeza bagi sesetengah orang. Tiada penanda aras tentang bahan bacaan yang perlu dibaca oleh seseorang. Adakah dengan banyak membaca bahan bacaan seperti komik dan majalah hiburan atau masakan maka bolehlah kita katakan seseorang itu mempunyai budaya membaca yang sihat?
Usaha memupuk tabiat suka membaca memang sukar dilakukan. Ia bukan boleh berlaku dalam tempoh sehari dua. Ia memerlukan keazaman dan komitmen yang tinggi dari semua pihak. Yang paling penting ialah perlu adanya satu proses permulaan dan tiada yang lebih tepat dan sesuai melainkan tapak awalnya bermula di rumah dimana ibubapa sendiri perlu menunjukkan tabiat suka membaca kerana yang paling mudah diikuti oleh anak-anak ialah apa yang dilakukan oleh ibubapa mereka. Pendidikan sebenarnya bermula dari rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan minat membaca semasa di rumah supaya menjadi teladan kepada anak-anak. Ibu bapa hendaklah kerap membawa anak-anak ke pameran atau karnival buku selain kedai-kedai buku.
Di peringkat sekolah, ganjaran atau pemberian hadiah untuk pelajar dalam sebarang program dan aktiviti sekolah hendaklah menjurus ke arah memartabatkan budaya membaca. Maka pemberian hadiah dalam bentuk buku-buku ilmiah atau baucer untuk membeli buku dilihat lebih sesuai untuk memupuk semangat dan suasana membaca di kalangan pelajar.. Hadiah dalam bentuk barangan elektrik atau basikal lebih sesuai untuk cabutan bertuah dalam majlis keramaian.
Pendekata, usaha menanam minat membaca dalam kalangan pelajar bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak sekolah, malah ibu bapa dan masyarakat harus memainkan peranan.

No comments:
Post a Comment