Friday, 2 August 2013

DILEMA GURU

Isu seorang guru yang dikatakan menghalau pelajarnya balik kerana tidak menyiapkan kerja sekolah baru-baru ini amat dikesali. Ia mewujudkan persoalan sejauhmana seorang guru berupaya menggalas tanggungjawab membimbing dan mendidik pelajarnya.
Saya berpendapat jika pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah memang patut dia di denda samada merotan, mencubit atau menyuruhnya berdiri di belakang kelas sambil menyiapkan kerja sekolahnya. Kalau guru itu tidak mahu menggunakan denda fizikal, cara paling selamat ialah mengambil pendekatan berleter berbakul-bakul terhadap pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah. Biar telinga pelajar hangus keluar asap sebagai pengajaran terhadap mereka.
Tidak dinafikan pelajar masa kini tidak sama dengan pelajar era 60 an. Pelajar sekarang kalau guna pendekatan berlembut tak makan saman Namun persoalan disini ialah wajarkah guru menghalau pelajar balik sebab tidak menyiapkan kerja sekolah.?
Pada pandangan saya, pelajar tidak patut dihalau balik rumah sebab tak siap kerja sekolah. Tanggungjawab seorang guru seperti yang digariskan dalam Tatasusila Profesion Keguruan Malaysia ialah mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal lain. Tindakan guru tersebut agak luarbiasa kerana dia telah bertindak di luar batas kuasanya disamping tidak prihatin dengan keselamatan pelajarnya. Andainya sesuatu perkara yang buruk terjadi kepada pelajar tersebut seperti kemalangan, disamun, diculik ataupun dirogol, maka guru itu perlu bertanggunjawab atas tindakannya itu dan menghadapi risikonya.
Saya yakin ibubapa tidak akan melenting atau buat laporan polis jika guru tidak keterlaluan mendenda anak mereka atas kesalahan yang dilakukan anak mereka di sekolah. Oleh itu guru-guru tak payahlah membuat komen terbuka di laman fb agar guru tak payah peduli pelajar yang tak siap kerja sekolah, lantaklah pi depa ini negara demokrasi. Inikah ciri-ciri seorang guru yang diamanahkan untuk mendidik anak bangsa? Dimanakah peranan guru sebagai pembentuk nilai positif terhadap pelajarnya?
Pelajar yang diamanahkan kepada kita menjelma dalam pelbagai saiz dan bentuk fizikal malah berlainan kecerdasan dan keupayaan. Sebagai guru kita hendaklah terima mereka seadanya tanpa dipengaruhi oleh jurang dan perbezaan di antara mereka. . Dalam ertikata lain seorang guru hendaklah bersedia menerima dan menghadapi segala masalah dan keperitan dalam liku-liku perjalananya sebagai guru dengan sabar, tenang dan hati terbuka.



No comments:

Post a Comment