Saturday, 28 November 2009

DORONGAN WANG


Siapa yang tak ingin menjadi kaya dan hidup mewah lebih-lebih lagi jika diberi peluang melalui jalan mudah dan pantas? Keinginan untuk cepat kaya dengan jalan mudah dan pantas telah menghilangkan pertimbangan kewarasan di dalam diri sesetengah orang sehingga sanggup meminjam atau mengeluarkan duit simpanan mereka untuk melabur di dalam pelbagai skim cepat kaya atau melabur di dalam pasaran pertukaran mata wang asing.  Namun seringkali kita dapati hajat besar mereka ini berakhir dengan mengalami kerugian lalu tersungkur dan terpaksa menanggung hutang keliling pinggang. Kasihan sungguh!  Skim atau pelaburan yang diharapkan untuk menjadikan mereka cepat kaya tidak menjadi, sebaliknya telah berubah menjadi skim cepat miskin.  Sebab nak kaya cepat nak untung cepat semua nak cepat akhirnya  miskin pun cepat!
Dimana silapnya? Adakah ia berpunca dari kesilapan kita sendiri yang terlalu tamak? Apakah kita sudah tidak ingat lagi akan peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa orang tamak selalu rugi?
Adakah hanya dengan bergoyang kaki tanpa berusaha wang ringgit akan datang bergolek kepada kita? Bukankah itu bertentangan dengan norma kehidupan?  Jangan kita lupa kata orang tua-tua bahawa rezeki tidak akan datang bergolek!  Tidak ada gunanya kita menyalahkan sesiapa kerana nasi sudah menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak melabur diri sendiri yang tersungkur! Apa yang penting ialah ambillah iktibar dari apa yang berlaku, belajarlah dari kesilapan dan pengalaman. Anggaplah semua yang berlaku sebagai satu dugaan. Ini bukan soal hidup atau mati. Yang pastinya akan ada hukuman Allah yang menanti golongan penganjur skim tersebut, kalau bukan di dunia ini akan lebih azab lagi di akhirat kelak.
Janganlah kita memandang wang ringgit sebagai ukuran hidup!!!

No comments:

Post a Comment