Cuti sekolah adalah waktu yang sangat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh para pelajar tetapi juga guru-guru. Cuti sekolah sangat menggembirakan kerana inilah peluang untuk melapangkan fikiran dan menenangkan minda. Ibubapa berkesempatan membawa anak-anak jalan melihat tempat orang. Bak kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman. Bagi diri saya, cuti sekolah kali ini membawa pengalaman yang kurang menyenangkan.
Walaupun pada cuti ini saya perlu menghadiri kursus Pro-ELT yang agak ‘stress’ buat diri saya, apa yang menyedihkan ialah apabila emak saya dimasukkan ke hospital di Pulau Pinang akibat menderita penyakit ‘osteoporosis’ pada tahap kronik. Walaupun dia sudah dibenarkan pulang, keadaan kesihatan emak saya agak tenat dan lemah. Sedih sangat melihat keadaan emak saya. Tidak banyak yang dapat saya membantu, namun saya yakin kehadiran saya di saat-saat begini sangat bermakna buat emak saya.
Apapun saya bersyukur apabila doktor memberitahu harapan untuk emak saya pulih tetap ada walaupun ia mengambil masa dan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya. Saya sedar emak saya memerlukan perhatian dan penjagaan rapi kerana penyakitnya itu selain usianya yang sudah lanjut. Harapan saya ialah dapat lebih kerap mengunjungi emak saya di sana. Dalam pada itu, saya hanya mampu berdoa agar emak saya akan cepat sembuh dan diberi kesihatan yang baik.

No comments:
Post a Comment